Perbezaan Riba dengan Jual Beli
Sejak zaman Baginda Nabi s.a.w. lagi, golongan kafir Quraiy dan munafiq mempertikaikan perbezaan di antara riba dan jual beli. Oleh yang demikian, tidak hairan terdapat individu pada zaman moden turut berfikiran seperti golongan Jahiliah ini.
Pertikaian mereka direkodkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana berikut:
Maksudnya: ..... demikian itu kerana mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba." _(Surah al-Baqarah 2: 275)
Menelusuri penulisan dan keterangan para ulama, pertikaian ini timbul disebabkan hal berikut:
Jika sekiranya riba itu haram, maka tentulah jual beli juga menjadi haram, ini kerana jual beli juga turut menghasilkan sesuatu yang lebih, iaitu modal berbanding dan margin keuntungan. Manakala bagi riba, pokok pinjaman dan kadar bunganya.
Jika sekiranya jual beli itu halal, pastilah riba juga wajar menjadi halal, bahkan riba itu lebih jelas berbanding jual beli sehinggakan disamakan jual beli dengan riba dan bukan sebaliknya. Al-Tabari mengatakan inilah tahap buruk dan melampaunya mereka, sebenarnya mereka sengaja menjadikan riba sebagai yang disamakan dengan jual beli.
Riba juga menyamai jual beli secara muajjal (bayaran tangguh), iaitu apabila dijual satu barang dengan harga tunai, sebanyak RM100, manakala RM150 jika bayaran bertangguh. Pertikaian ini juga diterima oleh Rashid Redha di dalam tafsirnya sehingga ia menghalalkan pertambahan bagi kedua-dua pinjaman kewangan dan juga jual beli.
Hasilnya, faedah bank bagi simpanan wang di bank-bank konvensional dianggap halal, pandangan ini juga dikongsi oleh Syeikh Abd Wahhab Khallaf dan beberapa yang lain. Mereka menjadikan keharusan kenaikan harga pada kontrak jual beli bertangguh sebagai hujah dan asas keharusan.
Melihat beberapa jawapan ulama silam, kita akan dapati bahawa al-Qaffal al-Syafi'i telah berjaya menerangkan perbezaan antara jual beli dan riba dengan baik, beliau berkata:
Jual Beli
Apabila seseorang menjual sehelai pakaian yang bernilai (modal) 10 dirham (sebagai contoh) dengan harga 20 dirham, maka pakaian tersebut menjadi sebab untuk pihak penjual memperoleh harga 20 dirham tadi. Oleh sebab itu, sekiranya diperoleh redha dari kedua-dua belah pihak penjual dan pembeli, akan termeterai kontrak pertukaran pemilikan harta (pada wang dan pakaian) di antara keduanya. Kedua-dua pihak tidak mengambil milik yang lain tanpa batasan material.
Pinjaman dengan Faedah
Seseorang yang memberikan pinjaman 10 dirham dengan mengambil lebih daripada 10 dirham pula, tanpa sebarang pertukaran milik harta seperti pakaian dalam jual beli di atas, kini apakah sebab yang membolehkan pemberi pinjam untuk mengambil lebih daripada apa yang diberi?
Kita tidak boleh mengatakan "penangguhan pulangan" untuk sesuatu tempoh itu sebagai harta, kerana "penangguhan adalah bukan sebuah harta yang mempunyai nilaian tersendiri. atas sebab itu, tiada sebab untuk pemberi pinjam mendapat lebihan sebanyak sepuluh dirham tadi.
Jelas dari itu, perbezaan aset berbanding pinjaman riba yang tidak didasari aset.
Selain al-Qaffal, akhruddin al-Razi dan al-Baidawi turut memberikan penjelasan tambahan:
Dalam jual beli, seseorang yang menjual sesuatu aset yang bermodal 10 dinar dengan harga 11 dinar, dia telah memberikan pembeli peluang dan kemudahan hasil daripada barang yang dibeli sama ada untuk dirinya atau untuk diniagakan, atas sebab itu penjual berhak untuk mendapat bayaran lebih berpunca daripada satu nilai kebaikan pada aset yang diberikan. Itu juga adalah sumber untuk perolehan keuntungan halal serta beredarnya harta dalam sesebuah masyarakat.
Dalam pinjaman, seseorang peminjam yang membayar lebih atas pinjamannya, tidak beroleh sebarang manfaat kecuali hanya berpeluang memanfaatkan wang pinjamaan yang diperolehinya. walaupun dia boleh berniaga menggunakan wang tersebut sebagai modal lalu mendapat keuntungan, namun ia tidak dapat lari daripada proses jual beli aset dan barang.
Mungkin ada yang mengatakan si peminjam boleh mendapatkan keuntungan dengan cara memberi pinjam kepada individu lain dengan riba. Jika demikian cara pendapatan keuntungan, cuba bayangkan kesan yang akan berlaku kepada masyarakat. Pertumbuhan ekonomi dalam sesebuah negara akan pasti sukar disebabkan tiadanya proses jual beli berdasarkan real asset atau barangan sebenar. Atas sebab itu, jual beli amat berbeza dengan pinjaman dan riba.
Ibn `Asyur pula cuba menambah apabila menegaskan bahawa perbezaan juga boleh dilihat daripada keadaan diri peminjam dan pembeli. Kebiasannya, seseorang pembeli adalah golongan yang mempunyai wang dan berhajat kepada sesuatu barangan, manakala peminjam biasanya akan menggunakan wang pinjaman untuk keperluan dirinya. justeru, mengambil keuntungan atas pemberian pinjam tidak lain kecuali menambah tekanan kepada golongan miskin, justeru ia diharamkan dan ia tentunya berbeza dengan jual beli.
Namun begitu, hujah yang dikemukakan oleh `Asyur mungkin sukar diterima dengan keadaan perniagaan masa kini yang menyaksikan begitu ramai usahawan besar dan kecil meminjam untuk bisnes mereka. Justeru, saya kira hujah yang dikemukakan oleh al-Qaffal, al- Razi dan al-Baidawi sudah cukup jelas memberikan perbezaan yang sebenar, menolak dakwaan puak musuh Islam pada zaman Nabi s.a.w.
Kesimpulannya, berbezaan di antara keduanya boleh dilihat dalam jadual di bawah.
Atas sebab itulah Allah s.w.t menolak dakwaan menyamakan antara jual beli dan riba dengan firmannya yang jilas mafhumnya:
"Dan dihalalkan jual beli dan diharamkan riba." _(Surah al-Baqarah 2: 275).
Perbezaan:
Pinjaman Riba
1. Pertukaran di antara jenis yang sama iaitu mata wang dengan mata wang.
1. Pertukaran di antara jenis yang sama iaitu mata wang dengan mata wang.
2. Pinjaman adalah kontrak belas ihsan (irfaq).
3. Pulangan tetap.
4. Pinjaman adalah sebuah aktiviti yang berasingan daripada pertumbuhan sebenar.
5. Keuntungan diperolehi hasil tempoh penangguhan yang diberi.
Jual Beli
1. Pertukaran antara yang berbeza , iaitu aset dengan mata wang.
2. Jual beli adalah kontrak perniagaan pertukaran harta.
3. Pulangan tidak tetap.
4. Aktiviti jual beli berkait rapat dengan perniagaan aset sebenar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan