Rabu, 18 Mei 2011

Enam calon rebut timbalan presiden

KUALA LUMPUR – Selepas pencalonan ditutup, enam orang layak bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas manakala 14 lagi layak bertanding untuk tiga jawatan naib presiden dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu bulan depan.

Mereka yang layak bertanding timbalan ialah Datuk Seri Azizan Abd Razak, Datuk Husam Musa, Nasharuddin Mat Isa, Salahuddin Ayub, Mohamad Sabu dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) kekal sebagai Presiden Pas apabila tidak dicabar.

Mengumumkan senarai rasmi pencalonan semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, pencalonan itu diterima selepas tarikh tamat 180 kawasan selesai bermesyuarat kelmarin.

Menurutnya, hanya 146 kawasan menghantar pencalonan manakala selebihnya, borang pencalonan ditolak kerana tidak lengkap atau tidak bermesyuarat.

Bagi jawatan naib presiden, seramai 14 pemimpin layak bertanding. Mereka adalah Azizan, Husam, Idris Ahmad, Datuk Mahfuz Omar, Mazlan Aliman, Mohamad Sabu, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Dr Mohd Hatta Md Ramli, Dr Mujahid Yusof Rawa, Nasharudin, Nik Zawawi Nik Salleh, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, Salahuddin dan Tuan Ibrahim.

Sebelum ini, bagi jawatan timbalan presiden, Nasharudin sudah mengeluarkan kenyataan akan mempertahankan jawatan, manakala Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu sudah mengesahkan akan bertanding.

Ditanya mengenai jumlah diterima oleh calon jawatan timbalan presiden, Abdul Halim enggan mengulas tetapi menegaskan setiap calon tersebut mengetahui jumlah pencalonan mereka.

“Saya tidak boleh jawab soalan tersebut, jika mahu tahu jumlah tanya sendiri dengan calon-calon tersebut, saya tidak mahu ia seolah-olah dibaca sebagai kempen,” katanya.

Abdul Halim menjelaskan, setiap calon yang layak akan dihantar surat untuk mengetahui mereka menerima atau menolak sebarang pencalonan dan borang tersebut perlulah dibalas sebelum 26 Mei ini.

Tiada ulasan: